a

Sabtu, Mac 27, 2010

Tapak Pasar Malam Dalam Kawasan Perumahan Balok Permai

Maklumat daripada Encik Anuar (Ketua Bahagian Penjaja Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Encik Ibrahim (Pengerusi Persatuan Pasar Lambak Kuantan)menjelaskan, tarikh perpindahan tapak pasar malam ke kawasan perumahan Balok Permai ialah pada 7 April 2010 hari Rabu....... Tapak pasar malam yang sedia ada akan ditutup kepada semua peniaga pasar malam, kerana kawasan tersebut akan dibina bangunan kedai. Perpindahan tapak pasar malam ke kawasan perumahan Balok Permai pada dasarnya telah dipersetujui oleh penduduk, setelah diadakan perbincangan kedua belah pihak dan pihak yang bertanggungjawab bersetuju memenuhi beberapa cadangan dan kehendak penduduk sebagaimana, sesi dialog antara pihak MPK dan Pengerusi Persatuan Pasar Lambak Kuantan dengan jawatankuasa KRT dan penduduk Balok Permai pada 20 mac 2010, Antara lain perancangan pihak MPK untuk membuka satu laluan baru yang menghubungi Lorong Balok Permai Satu ke jalan besar, bagi mengelak kesesakan kenderaan keluar masuk pada hari pasar malam tersebut. Namum pihak penduduk telah membantah pembukaan laluan itu, atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Pihak bertanggungjawab telah bersetuju dan terpaksa angkur dengan bantahan penduduk itu. Penduduk mencadangkan supaya gerai penjaja di tempatkan di sepanjang Jalan Luar, yang berhadapan dengan perumahan Balok Permai. Termasuk sedikit penepatan di tapak asal yang disediakan oleh pihak MPK, ini bertujuan, 1) Untuk mengelak dari kesibukkan pengunjung membanjiri kawasan perumahan Balok Permai. 2) Untuk mengelak daripada Jalan Pertama yang menjadi laluan utama penduduk keluar masuk ke perumahan ini ditutup, kerana hampir 70% penduduk di sini menggunakan jalan tersebut,berbanding dengan jalan yang dicadangkan itu. Diperingkat awal perancangan, Pihak MPK akan menutup laluan pertama ini bagi menepatkan gerai penjaja di atas jalan tersebut. 3) Dari segi keselamatan di halaman perumahan penduduk Balok Permai. Bila penepatan pasar malam agak jauh sedikit dari halaman perumahan kemungkinan besar pengunjung tidak akan membanjiri kawasan perumahan ini. Secara tidak langsung dari segi kawalan keselamatan mungkin agak terkawal, Mungkin tidak ada alasan untuk pengunjung berkeliaran di kawasan perumahan untuk mengambil kesempatan bagi mereka yang berniat jahat. Apatah lagi untuk lepak terutama di kawasan taman permainan kanak-kanak. 4) Dari sudut kebersihan. Pembuangan sampah merata-rata oleh pengunjung yang tidak bertanggungjawab mungkin tidaklah begitu ketara dan merebak sehingga kedalam kawasan taman perumahan ini. 5) Kenderaan pengunjung mungkin tidak akan “parking” di hadapan perumahan terutama di Jalan Balok Permai 1, kerana tapak peniagaan agak jauh dari sini, terutama tempat jualan barangan makanan harian. 6) Tempat yang dicadangkan penempatan gerai penjaja di jalan tersebut sangatlah sesuai kerana jalannya luas dan jaraknya juga agak panjang, berbanding jalan yang dicadangkan sebelum ini. Malah ianya tidak terhalang ditengah-tengah longkang yang tidak ditutup geriji besi. 7) Kawasan taman permainan kanak-kanak di hadapan Jalan Balok Permai 1 menjadi tumpuan anak-anak bermain diwaktu petang. Sekiranya kawasan ini menjadi sesak dengan gangguan pengunjung mungkin menyukarkan anak-anak bermain apatah lagi sekiranya kawasan itu juga turut melimpah dengan gerai peniaga. Cadangan penduduk terhadap tapak asal yang disediakan oleh pihak MPK, Penduduk mengesyorkan supaya ditempatkan barangan penjaja yang kurang menjadi tumpuan pengunjung, agar kawasan di sekitarnya tidak menjadi terlalu sesak. Penduduk juga meminta supaya penepatan jumlah bilangan penjaja di situ tidak dipenuhi kesemua tapak yang disediakan sehingga sampai kekawasan berhampiran taman permainan kanak-kanak. Ini bertujuan untuk mengelak daripada pengunjung membanjiri kawasan halaman perumahan kami. Tumpuan utama adalah lebih kepada disepanjang jalan hadapan yang dicadangkan itu. Pihak MPK diharap sentiasa membuat pemantauan supaya dibahu jalan pertama di hadapan tapak tersebut, tidak ada sebarang aktiviti peniagaan dan bebas dari segala “parking” kenderaan samaada peniaga ataupun pengunjung. Kebersihan juga dititik beratkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Kebersihan ini bukan sekadar di tapak pasar malam malah ianya hendaklah menyeluruh ke kawasan perumahan kami. Kerana sampah peniaga mungkin terkumpul tetapi bagaimana dengan sampah pengunjung yang tidak berdisiplin. Kami tidak mahu kawasan perumahan kami ini menjadi tempat pembuangan sampah secara merata-rata. Apa yang paling dirisaukan oleh penduduk ialah pembuangan sampah ke dalam longkang dan paya, siapakah yang akan bertanggungjawab mengutip semuanya. Kerana penduduk memaklumkan selama menetap di sini tidak pernah melihat pihak kontrak membuat cuci terhadap longkang besar. Kecuali pihak KRT sendiri yang mengadakan gotong royong untuk mencucinya. Penduduk pernah menanya perkerja yang membuat cucian pada longkang kecil di sekitar perumahan Balok Permai dulu, katanya longkang besar di sini tidak termasuk dalam kontrak mereka. Jadi persoalannya siapakan yang akan bertanggungjawab selepas ini sekiranya dipenuhi sampah oleh kegiatan pasar malam. Penduduk meminta supaya pihak MPK dapat mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini. Walaupun pada dasarnya pihak penduduk setuju tapi pihak penduduk juga merasa kesal kerana sebelum meluluskan projek ini, pihak MPK tidak langsung memaklumkan pada kami, walaupun tanah tersebut merupakan tanah rezab MPK tetapi seharusnya pihak MPK mengambil kira juga padangan dari kami sebagai penghuni yang membeli rumah di sini. Apa-apa projek kemajuan yang diperuntukan untuk rakyat adalah sangat baik, tetapi sekiranya perancangan untuk dilaksanakan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga dan menimbulkan pula kesusahan kepada penduduk di sini apa makna kemajuan projek tersebut. Mereka yang akan menerima faedah keuntungan atas pelaksanaannya, tapi kami di sini pula yang akan menanggung beban kesulitannya.

Tiada ulasan: