Syukur Alhamdulillah, setelah sebulan berpuasa dibulan Ramadhan, kini umat Islam menyambut hari raya Aidil Fitri. Kiranya belum terlambat bagi AJK KRT Balok Permai untuk mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri kepada muslimin dan muslimat warga Perkampungan Balok Permai. Semoga segala amal yang kita lakukan disepanjang bulan Ramadhan yang lalu, diterima oleh Allah Swt sebagai amal yang soleh. Dan semoga muslimin dan muslimat sekelian berbahagia di Aidil Fitri.
Kepada yang balik kampung, tentunya Aidil Fitri tersebut terasa lebih bermakna apabila dapat berkumpul dengan ibu-bapa, adik-beradik serta sanak saudara. Kepada yang tidak berkesempatan untuk berhari raya dikampung pada tahun ini, Insyaallah berhari raya di sini juga tidak kurang cerianya.
AJK KRT Balok Permai ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan yang tidak balik ke kampung berhari-raya, kerana telah bersusah payah berjaga malam demi keselamatan dan keamanan perkampungan kita ini. Juga jutaan terima kasih diucapkan kepada warga Balok Permai yang telah bermurah hati menderma sebagai tanda sokongan kepada rakan-rakan yang bersusah payah berjaga malam tersebut.
Alhamdulillah, berkat kerjasama dan komitmen warga Balok Permai tersebut, dengan izin Allah, tiada sebarang insiden besar yang berlaku sepanjang ”tempoh” berkenaan. Mudah-mudahan, semangat kerjasama dan ukhuwwah ini dapat diteruskan bahkan lebih kukuh lagi pada masa-masa mendatang.
Untuk makluman muslimin dan muslimat sekelian, AJK KRT Balok Permai telah merancang beberapa program dan aktiviti untuk warga Balok Permai. Antara aktiviti tersebut seperti penubuhan pasukan RELA bagi Balok Permai, Rakan Cops, ”Rakan Bomba” dan sebagainya. Insyaallah dari masa ke semasa AJK KRT akan memaklumkan secara terperinci tentang program dan aktiviti-aktiviti ini.
Akhirkata, dibulan dan hari yang mulia ini, AJK KRT Balok Permai dengan rendah hati, memohon jutaan kemaafan kepada muslimin dan muslimat sekelian jika ada tindakan dan tuturkata AJK KRT Balok Permai yang tidak berkenan di hati muslimin dan muslimat sekelian. AJK KRT Balok Permai juga ingin menyeru kepada muslimin dan muslimat warga Perkampungan Balok Permai agar saling bermaaf-maafan. Amal bermaaf-maafan adalah amal yang sangat disukai oleh Allah.
Sebaliknya marilah kita buang segala kesombongan, kerana ianya adalah sangat dimurkai oleh Allah Swt. Sabda Nabi Saw, " Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun hanya sebesar biji sawi...” (HR Muslim)
"Berilah kemaafan, perintahkanlah kebajikan dan janganlah hiraukan ucapan atau tindakan orang-orang yang bodoh (tidak mengerti) (Al A’raf : 199) ”
"Hendaklah kamu suka memaafkan dan itu adalah yang terdekat pada ketaqwaan kepada Allah.” (Al Baqarah : 237)
"Merendah diri (tawadhu’) itu tidak menambah seseorang melainkan ketinggian. Oleh sebab itu, bertawadhu’lah, pasti Allah akan meninggikan derjatmu semua. Memberi kemaafan itu tidak menambah seseorang melainkan kemuliaan. Oleh sebab itu berilah pengampunan, pasti Allah akan memuliakan kamu semua. Bersedekah itu tidak menambah harta seseorang melainkan akan makin banyak jumlahnya. Oleh sebab itu bersedekahlah, pasti Allah akan memberikan kasih-sayangnya kepadamu semua.” (HR Dailami & Ashfihani)
Sekian. Ditulis oleh : Saudara Kamaruzzaman bin Othman. ( AJK KRT B.Permai )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan