a

Sabtu, Oktober 03, 2009

Rasanya sudah lama saya tidak menulis tentang laporan aktiviti dan program yang dianjurkan oleh pihak KRT Balok Permai. Disebabkan banyak aktiviti yang dirancang telah tergendala oleh berbagai masalah, Justeru untuk membuat laporan juga agak terbatas. Namun tidaklah bererti KRT Balok Permai ini akan berkubur setelah tidak ada aktiviti yang dijalankan.  

Walaupun pada tanggapan setengah orang mengatakan KRT Balok Permai tidak aktif lagi, namun InsyaAllah kalau diizinkan dan dimurahkan rezeki kita akan usaha untuk mempertingkatkan lagi kerja kita untuk menaikkan nama KRT Balok Permai. Tahniah dan syabas serta ucapan jutaan terima kasih kepada anggota SRS Balok Permai kerana dari dulu sehinggalah hari ini, kegiatan rondaan sukarela masih lagi diteruskan pada setiap malam. 

Seingat saya sudah dua tahun, bermula sebelum KRT ditubuhkan lagi sehinggalah sekarang masih diteruskan. Dari tiga kumpulan telah dibentuk menjadi empat kumpulan rondaan dan seterusnya dipecahkan lagi menjadi enam kumpulan.dan sekarang kekal dengan enam kumpulan tersebut, Kami pihak KRT Balok Permai sangat menghargai atas pengorbanan mereka ini. 

Satu minggu sekali dan empat kali sebulan untuk setiap satu kumpulan bukan satu kerja yang mudah untuk bersengkang mata berjaga malam, apatah lagi disiang hari kita terpaksa pula berkerja, ada yang kerja masuk pukul 8.00 pagi dan yang masuk pukul 9.00 pagi. Satu jam setengah masa untuk tidur selepas selesai saja rondaan memang sekali memenatkan. Namun untuk menjaga kesejahteran taman kediaman sendiri hidup bermasyarakat terpaksa dilalui juga. 

Bagi yang merasai kerja ini adalah sia-sia terserahlah. Tak perlu saya menghuraikannya membuang masa sahaja. Alhamdulillah, sepanjang program rondaan dilaksanakan di taman perumahan Balok Permai, kejadian pecah rumah belum terjadi diwaktu malam dan harap ianya akan berterusan untuk selamanya. Namun diakhir ini kita tidak terlepas juga dari berlaku kecurian. Kebanyakkannya berlaku disiang hari pula. Biasanya kecurian hartabenda yang kecil saja. 

Mungkin kesilapan kita sendiri yang terlalu mendedah hartabenda tersebut menyebabkan orang lalu lalang senang mengambilnya. Hari kita lihat ramai orang yang kita tidak kenali keluar masuk dalam taman perumahan ini. Kedatangan mereka tidak semestinya kita mengesyaki sesuatu, tapi perlulah berhati-hati. Budak-budak luar dari taman perumahan ini yang datang melepak terutama dipondok surau, telah menyebabkan beberapa kali tabung surau telah dipecahkan. Ini semuanya berlaku disiang hari sewaktu kebanyakkan penghuni di sini pergi bekerja. 

Pada minggu lepas, sewaktu saya pergi ke surau Balok Permai untuk sembahyang ada seorang jiran di sini telah menyerah sekeping Mykad dan kad Bonuslink pada saya. Katanya barangan orang yang telah tercicir dalam kawasan surau Balok Permai ini. Pada mulanya saya bercadang untuk menyerah Mykad tersebut kepada pihak polis saja, tapi apabila melihat alamat Maykad tersebut saya mengambil keputusan untuk pos saja keesokkan harinya. 

Setelah beberapa hari selepas itu saya telah menerima satu SMS yang menulis ucapan terima kasih kerana menghantar Maykad tersebut. Apa yang memeranjatkan saya dari penjelasan tuan punya Maykad tersebut katanya beliau telah diragut di Lorong Alor Akar 11 Kuantan dan beliau telah membuat repot di IPD Kuantan pada 10.09.09. 

Persoalannya sekarang, adakah peragut itu tinggal di Balok Permai atau datang ke surau Balok Permai untuk mencari hasil dari memecah tabung surau. Sekiranya peragut itu adalah penghuni Balok Permai sendiri rasanya amat malang lah kita dan sekiranya peragut itu adalah orang luar dari Balok Permai mungkin kita boleh lebih berhati-hati lagi. 

Sembahyang hajat selama 40 hari yang dianjurkan oleh pihak surau adalah sangat baik untuk kesejahteraan taman perumahan ini, terutama sekali yang melibatkan kes-kes kecurian hartabenda orang ramai seperti kejadian pecah tabung surau tersebut, disamping kecurian hartabenda perseorangan penduduk di sini. Kita berdoa semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan menjauhi dari segala bencana serta memberi hidayah kepada kita semua.

Tiada ulasan: