a

Isnin, Julai 27, 2009

Ucapan Terima Kasih Kepada Penderma Pembesaran Surau

Ahli Jawatankuasa Surau Perumahan Balok Permai, yang diketuai oleh pengerusinya Ustaz Rosli bin Ahmad, telah merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, dalam menguruskan pembinaan bangunan tambahan surau perumahan Balok Permai sehingga dapat disiapkan mengikut jangkaannya. 
 
Ucapan ini TERUTAMA kepada mereka yang bermurah hati yang telah menghulurkan sumbangan kewangan kepada tabung pembinaan bangunan tersebut. Kerja-kerja pembesaran bangunan surau tersebut telah dijalankan pada awal bulan Jun 2009 dan telah pun siap sepenuhnya untuk digunakan pada hari ini. 
 
Bahagian tambahan tersebut digunakan bagi menempatkan ruang sembahyang untuk jamaah wanita yang sebelum ini terpaksa bersesak-sesak kerana ruang bilik sembahyangnya agak sempit. Bangunan asal yang disediakan oleh pihak pemaju, hanya mampu menempatkan jamaah dalam satu waktu sembahyang hanya sekitar lima puluh orang sahaja. Ini termasuk sekali dengan jamaah lelaki dan wanita. Keadaan ini mungkin tidak selesa untuk beribadat, tidak dikira lagi dengan saf untuk anak-anak yang datang sama untuk bersolat. 
 
 Kalau dibandingkan dengan jumlah rumah yang telah dibina dan jumlah penduduk yang menduduki taman perumahan ini sememangnya tidak menempati dengan keluasan surau yang disediakan, apatah lagi penempatan penghuni di sini adalah terdiri dari semua golongan orang melayu yang beragama Islam. 
 
Memandangkan keadaan inilah pihak jawatankuasa surau telah mengambil daya insiatif dengan berusaha mencari dana untuk membuat pembesaran surau tersebut dengan secepat mungkin. Ini kerana keadaan akan menjadi bertambah rumit bila menjelangnya bulan Ramadhan sekiranya pembesaran itu tidak dilakukan dari sekarang.            Bangunan tambahan yang dibuat pada sebelah kanan untuk ruang sembahyang wanita. 
 
Bagi pihak pengerusi surau Ustaz Rosli bin Ahmad beliau mengharap dan menyeru kepada semua ahli jamaah agar dapat mengekalkan amalan berderma ini pada diri masing-masing untuk setiap masa dan menjadikan sebagai amalan mulia infaq bulanan untuk kemajuan surau dan program-program keagamaan yang dijalankan di surau ini. Tanpa sumbangan daripada ahli jamaah semua kegiatan program keagamaan mungkin terjejas dan tidak dapat berjalan dengan lancar. 
 
Disamping itu beliau juga tidak lupa samasekali untuk merakamkan ucapan mohon maaf kepada semua ahli jamaah terutama sekali mana-mana ahli jamaah yang tersinggung dan terasa hati atas sikap kekasaran beliau yang mungkin tersalah faham yang sepatutnya tidak berlaku. Beliau ikhlas mengharapkan supaya segala kekeruhan ini dapat dijernihkan semula. 
 
Beliau menyeru supaya kembalilah semula mengimarahkan surau dan menyertai program-program kuliah yang diadakan pada setiap malam di surau ini. Sempena menyambut kedatangan bulan Rmadhan yang mulia ini satu siri kuliah yang bertajuk "Kedatangan Ramadhan Membawa Berkat" yang akan di sampaikan oleh Ustaz Mokhtar Senik akan diadakan selepas Solat Maghrib pada 29/07/09 di surau Balok Permai. 
 
Beliau mengalu-alukan kedatangan semua ahli jamaah Balok Permai ini mengikuti kuliah tersebut. Sehubungan dengan itu juga beliau memaklumkan bahawa pada malam tersebut akan diadakan sedikit jamuan kesyukuran kerana siapnya pembinaan tambahan surau dan sempena menyambutnya bulan Ramadhan yang akan datang ini.

Tiada ulasan: